Followers

Thursday, September 8, 2011

::aPaKah ErTi TaKbIr KemEnAnGan Yg SebEnAr..??::

 ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR, LA ILAHA ILLALLAHU WALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR WA LILLAHIL HAMD...


 Itulah takbir yang memecah kesunyian pagi menandakan hari kemenangan bagi umat Islam yang benar-benar ikhlas beribadat untuk Rabbnya. Itulah juga takbir yang menandakan berlalunya bulan yang penuh keberkatan yang akan ditangisi pemergiannya oleh mereka yang benar-benar dekat dengan Rabbnya. Bagi yang benar-benar bertakwa, mereka akan merasa sangat berat hati berpisah dengan bulan yang penuh barakah dan maghfirah ini, terlalu sekejap dirasakan. Namun, singkat panjangnya Ramadhan telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan apa yang boleh kita lakukan sebagai makhluk yang terlalu lemah ini adalah mengharapkan agar Allah menemukan lagi kita dengan Ramadhan yang akan datang. Apa yang penting ialah kita tetap istiqamah beribadah kepada Allah dengan sebenar-benar ibadah, samada di bulan Ramadhan mahupun bulan-bulan berikutnya. Dan amat penting untuk kita memahami bahawa ibadah itu bukan sekadar puasa, solat, haji atau ibadah-ibadah mahdhah (ritual) lainnya, tetapi ibadah itu mencakupi semua perkara yang diwajibkan atau diharamkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala atau dengan kata lain mematuhi segala perintah dan larangan Allah itu adalah ibadah


Adakah Kita Bertakbir Di Dalam Kemenangan??

Kita sering mendengar dan memperkatakan bahawa Eidul Fitri merupakan Hari Kemenangan kepada mereka yang berpuasa. Benar, kita tidak menafikan kenyataan ini dilihat dari konteks pencapaian setelah berpuasa itu sendiri. Persoalannya, apakah umat Islam itu telah meraih kemenangan sebagaimana yang Allah perintahkan? Apakah umat Islam itu benar-benar telah mencapai kemenangan sebagaimana kemenangan yang telah dicapai oleh Rasulullah dan para sahabat? Apakah kemenangan setelah berpuasa sebulan merupakan kemenangan hakiki umat Islam sehingga tidak ada lagi perjuangan untuk mencapai kemenangan sesudah itu? Apakah Takbir Kemenangan yang kita laungkan tidak mengingatkan kita tentang kemenangan yang telah diberikan oleh Allah kepada Rasulullah dan para Khulafa’ setelah mereka berjaya menguasai dunia dan menerapkan hukum Allah di atasnya?

Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan mereka berdakwah untuk menyebarkan agama Allah. Mereka berpuasa dan mereka berjihad untuk menyebarluaskan Islam. Mereka berpuasa dan mereka pastikan bumi ini tidak diperintah kecuali dengan hukum Allah semata. Mereka berpuasa dan mereka pastikan agama Allah adalah agama yang menakluki dunia. Rasulullah dan para sahabat berpuasa dan mereka benar-benar berjuang memastikan kemenangan Islam dan kaum Muslimin. Inilah kemenangan hakiki umat Islam sebagaimana yang telah ditunjuk dan diperintahkan oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam. Bukan sekadar kemenangan di dalam menunaikan ibadat puasa semata-semata

Wahai kaum Muslimin! Periksalah dengan hati yang ikhlas, adakah takbir kita sebagaimana takbir Rasulullah? Ada sebahagian dari kita bertakbir dengan linangan air mata, kerana apa? Sebahagiannya kerana mengingati kampung halaman, sedih kerana tidak dapat beraya di kampung. Sebahagian lagi sedih kerana mengingatkan sanak saudara yang telah pergi (meninggal). Sebahagian yang lain menangis kerana irama takbir yang sayu dan menyentuh perasaan. Inilah di antara kesedihan sebahagian dari umat Islam. Kita seharusnya turut bersedih menyaksikan ’kesedihan’ ini ... kerana apa? Kerana kita mengharapkan air mata yang bercucuran adalah kerana mereka benar-benar memahami kalimah takbir, menyedari hakikat perpecahan umat Islam, menyedari bahawa kehinaan yang Allah timpakan kepada kaum Muslimin sekarang adalah natijah dari tidak diterapkannya hukum-hukum Allah. Kita mengharapkan air mata berlinangan tatkala takbir dikumandangkan kerana umat Islam menginsafi dosa-dosa mereka sendiri yang tidak berusaha untuk menegakkan agama Allah. Kita mengharapkan air mata bercucuran kerana umat Islam benar-benar memahami kalimah takbir – mereka sedar bahawa laungan takbir ini berkumandang di dalam keadaan umat Islam hari ini ’mencapai’ kekalahan demi kekalahan, kelemahan demi kelemahan, kehinaan demi kehinaan. Kita mengharapkan mereka bersedih kerana kemenangan hakiki belum lagi dicapai. Kita inginkan air mata mengalir kerana bersedih mengumandangkan bertakbir di dalam kekalahan, bukan kemenangan.

Wahai kaum Muslimin! Sedarlah bahawa kita bertakbir untuk membesar dan mengagungkan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sebahagian kita bertakbir dengan penuh perasaan di dalam masjid, tetapi apabila di luar masjid mereka takbur kepada Allah. Mereka berhukum dengan hukum selain Allah. Mereka mengambil sistem yang lain dari sistem Allah. Mereka berjuang dan mempertahankan sistem Demokrasi ciptaan kuffar, mereka memperjuangkan sekularisme, liberalisme, assabiyyah, wathaniyyah dan sebagainya. Mereka mengagungkan kekayaan, kekuasaan, dan kedudukan dengan meninggalkan syariat Allah. Mereka membesarkan hawa nafsu dan kepentingan peribadi. Mereka mementingkan kehidupan dunia yang rendah berbanding akhirat. Mereka memikirkan dunia dan takut akan kehilangan kenikmatan dunia yang sedikit dan lupa akan nikmat akhirat yang tidak terbatas. Kerana semua ini, mereka memilih untuk hidup selesa di dunia dan tidak memperdulikan perjuangan untuk menegakkan agama Allah. Islam diambil sebagai agama untuk kepentingan peribadi, bukan agama untuk diperjuangkan. Malah lebih buruk, sebahagian dari mereka memandang serong golongan yang berjuang untuk mengembalikan syariat Islam. Inilah sebahagian sikap umat Islam yang takbur walaupun mereka melaungkan takbir kepada Allah

Ana mengucapkan SELAMAT HARI RAYA.. MAAF ZAHIR BATIN..
kepada semua yang mengenali diri ini baik dari kalangan keluarga, sanak saudara guru-guru,rakan-rakan dan semua pembaca...^_^

Salam perantauan dari EGYPT...

Salam Perjuangan yang tiada henti buat semua muslimin dan muslimat...
BERJUANG UNTUK ISLAM.
TAKBIR!!!
ALLAHU AKBAR...!!!

No comments:

Post a Comment